Thursday, May 20, 2010

Pasaran jenama Islam semakin penting

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kajian yang dijalankan oleh firma pengiklanan antarabangsa, Ogilvy & Mather, mengenal pasti 'pengguna baru Islam' sebagai perkembangan penting untuk jenama yang mahu mewujudkan hubungan yang berjaya dengan dunia Islam.

Pasaran Islam dianggap sangat penting untuk syarikat pemasaran, memandangkan segmen halal sahaja kini bernilai AS$2.1 trilion (RM6.72 trilion) dan berkembang sebanyak AS$500 bilion (RM1.6 trilion) setahun.

Pengarah Global Strategi Kebudayaan Ogilvy & Mather, Nazia Hussain berkata, hasil daripada usaha dan kejayaan, pengguna muda Islam hari ini lebih terbuka, positif dan inovatif, sama seperti pengguna di tempat lain.

"Prinsip amalan penjenamaan Islam yang baik, merupakan amalan yang baik untuk semua perniagaan di seluruh dunia," katanya pada perbincangan meja bulat di sini hari ini.

Beliau berkata, kemunculan pengguna baharu Islam yang terdiri daripada generasi baharu Islam moden di seluruh dunia, perlu dilibatkan dengan nilai-nilai Syariah bagi memahami keperluan mereka serta menguasai pasaran.

Laporan itu, 'Jenama, Islam dan Pengguna Baru Islam', juga berperanan sebagai landasan pelancaran bagi Ogilvy Noor, syarikat penjenamaan Islam global pelbagai disiplin yang bermatlamat membantu jenama mendekati pengguna Islam di seluruh dunia.

Ia juga memaparkan keadaan sebenar yang membelenggu sikap pengguna Islam terhadap jenama dan komunikasi pasaran mereka.

"Sebagai contoh, label halal yang perlu mempunyai sijil, tidak lagi mencukupi untuk memujuk pengguna baharu Islam bahawa syarikat yang mengeluarkan produk berkenaan menjalankan perniagaan selari dengan nilai-nilai Islam," kata laporan itu. - Bernama

No comments: